PM lakukan lawatan rasmi dua hari ke Brunei bermula esok

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 7:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PM lakukan lawatan rasmi dua hari ke Brunei bermula esok

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Brunei selama dua hari bermula esok bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali ke-27 antara Malaysia dan Brunei.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan berkata siri rundingan pemimpin tahunan itu merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei.

Beliau berkata semasa rundingan itu, Anwar dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan menilai kemajuan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara.

“Dalam konteks hubungan dua hala, sememangnya Malaysia dan Brunei memiliki hubungan yang akrab dan istimewa yang telah terjalin sejak tahun 1984.

“Selaku negara jiran rapat dan rakan kongsi peringkat ASEAN, kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Satu Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pengurusan bencana akan ditandatangani oleh menteri-menteri berkaitan bagi pihak Malaysia dan Brunei,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mohd Aini berkata sebagai persediaan ALC-27, Mohamad Hasan akan mempengerusikan Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei pada esok secara bersama dengan Menteri Luar Brunei Kedua Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof.

“Mesyuarat EOL tersebut akan memantau kemajuan kerjasama dua hala serta membincangkan hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pemimpin semasa Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-26 yang diadakan di Putrajaya tahun lepas,” katanya.

Pada 2025, jumlah dagangan antara Malaysia dan Brunei direkodkan pada RM5.86 bilion (USD1.37 bilion).

Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pada 2025 bernilai RM4.20 bilion (USD 0.98 bilion), manakala jumlah import dari Brunei bernilai RM1.66 bilion (USD0.39 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM2.38 bilion (USD0.6 bilion). – BERNAMA

The post PM lakukan lawatan rasmi dua hari ke Brunei bermula esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved