
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dijangka membincangkan isu jerebu merentasi sempadan dalam Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27.
BANDAR SERI BEGAWAN: Isu jerebu yang melanda beberapa kawasan di rantau ini dijangka antara perkara yang dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-27 Malaysia-Brunei .
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan berkata perkara tersebut merupakan antara isu yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara pada masa ini.
“Seperti kita tahu, isu jerebu ini yang paling terkesan adalah Sarawak dan dengan kehadiran Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pastinya isu ini akan dibincangkan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Anwar akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bermula esok bagi menghadiri ALC-27.
Siri rundingan pemimpin tahunan itu merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Serian di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, iaitu 204 setakat 5 petang ini.
Lima kawasan lagi di Sarawak mencatatkan tahap tidak sihat, iaitu Kuching (195), Samarahan (182), Sri Aman (179), Sarikei (158) dan Sibu (152).






