PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan berhubung isu penipuan dalam platform e-dagang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu susulan keprihatinan Anwar terhadap pelbagai masalah yang dihadapi pengguna platform e-dagang, termasuk caj komisen tinggi yang dikenakan kepada penjual dan produk diterima yang tidak menepati pesanan.
"Perdana Menteri membangkitkan keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh pengguna yang menggunakan platform e-dagang, khususnya berkait sama ada dari segi fi, komisen yang tinggi yang dikenakan kepada penjual ataupun produk yang dibeli diterima, tetapi tidak seperti yang telah ditempah.
"Jadi ada beberapa perkara yang beliau telah minta pihak KPDN, Kementerian Komunikasi, khususnya melalui MCMC untuk ambil tindakan terutama berkait fraud ataupun scam dalam platform e-dagang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Jumaat.
Fahmi berkata, satu pertemuan antara MCMC dengan semua pemain utama platform e-dagang telah diadakan beberapa minggu lepas bagi membincangkan isu berkenaan.
"Satu pemukiman membabitkan agensi penguatkuasaan juga akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi menyelaraskan tindakan bersepadu untuk menangani permasalahan yang dihadapi pengguna platform e-dagang.
"Arahan perdana menteri adalah perkara ini perlu diutamakan dan dilaksanakan pada kadar segera dan insya-Allah esok sewaktu Sambutan Hari Kurier Negara, saya akan ada beberapa pengumuman tambahan berkait isu ini,” kata Fahmi. - Bernama






