Jualan Agro MADANI jimatkan RM106 juta, catat jualan RM389 juta sejak 2023

LocalSales & Promo
30 Oct 2026 • 11:46 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Program Jualan Agro MADANI (JAM) berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM389.09 juta sejak diperkenalkan pada 2023, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi penawaran produk agromakanan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menawarkan produk agromakanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan makanan pada harga lebih berpatutan.

Image from: Jualan Agro MADANI jimatkan RM106 juta, catat jualan RM389 juta sejak 2023

Dilaksanakan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), program berkenaan turut bertujuan memendekkan rantaian pemasaran serta memperluas peluang pasaran dan pendapatan pengeluar agromakanan.

Sejak pelaksanaannya, sebanyak 21,465 program JAM telah dianjurkan dengan merekodkan penjimatan keseluruhan sebanyak RM106.61 juta kepada pengguna.

Berdasarkan statistik KPKM, program itu turut menerima kehadiran 13.41 juta pengunjung dan memberi manfaat kepada 51.43 juta isi rumah sepanjang tempoh berkenaan.

Image from: Jualan Agro MADANI jimatkan RM106 juta, catat jualan RM389 juta sejak 2023

Bagi tahun ini, sebanyak 4,231 program atau 84.6 peratus daripada sasaran 5,000 program telah dilaksanakan sehingga 11 Oktober lalu.

Pelaksanaan itu merekodkan nilai jualan sebanyak RM63.27 juta, selain menghasilkan penjimatan RM17.97 juta kepada pengunjung serta memberi manfaat kepada 8.18 juta isi rumah.

Pencapaian berkenaan membuktikan keberkesanan JAM sebagai salah satu instrumen intervensi kos sara hidup, khususnya dalam membantu meningkatkan akses rakyat kepada bekalan makanan pada harga berpatutan.

Jom singgah JAM di dua lokasi sekitar Melaka!

Dalam pada itu, orang ramai berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik menerusi penganjuran Semarak Tani @ Jualan Agro MADANI Mega yang bakal berlangsung di dua lokasi sekitar Melaka.

Image from: Jualan Agro MADANI jimatkan RM106 juta, catat jualan RM389 juta sejak 2023

Lokasi pertama ialah Econsave Batu Berendam bermula 30 Oktober hingga 1 November ini, manakala lokasi kedua berlangsung di Padang Kolej Vokasional Melaka Tengah, Bukit Katil dari 6 hingga 8 November.

Image from: Jualan Agro MADANI jimatkan RM106 juta, catat jualan RM389 juta sejak 2023

Kedua-dua karnival berkenaan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seisi keluarga.

Antara tarikan disediakan termasuk Jualan Agro MADANI, jualan usahawan, pameran agensi dan kerajaan, Food Empire, Petting Zoo, pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz Kahoot, demonstrasi produk makanan serta persembahan hiburan.

Justeru, orang ramai khususnya penduduk sekitar Melaka dijemput hadir bagi menikmati pelbagai tawaran menarik dan harga istimewa sepanjang karnival berlangsung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved