
PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya masalah dihadapi pengguna platform e-dagang dapat diberi keutamaan dan ditangani segera, khususnya berkaitan caj komisen tinggi serta penipuan dalam urus niaga dalam talian.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, masalah yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri itu turut meliputi aduan pengguna yang menerima produk tidak seperti dipesan menerusi platform berkenaan.
Susulan itu, katanya, Perdana Menteri telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.
“Perdana Menteri telah membangkitkan keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh para pengguna yang menggunakan platform e-dagang berkait daripada segi fi komisen tinggi yang dikenakan kepada penjual atau produk yang dibeli dan diterima tapi tidak seperti yang telah ditempah.
“Ada beberapa perkara yang Perdana Menteri telah minta pihak KPDN, Kementerian Komunikasi khususnya melalui MCMC untuk ambil tindakan terutama berkait penipuan ataupun scam dalam platform e-dagang,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, satu pertemuan antara MCMC dengan semua pemain utama platform e-dagang telah diadakan beberapa minggu lalu.
Selain itu, katanya, satu pemukiman membabitkan agensi penguatkuasaan pula akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi menyelaraskan tindakan bersepadu bagi menangani masalah pengguna platform berkenaan.
“Dan arahan Perdana Menteri adalah perkara ini perlu diutamakan dan dilaksanakan pada kadar segera,” katanya.
Tambah Fahmi, beberapa pengumuman tambahan berhubung isu berkenaan dijangka akan diumumkan sempena sambutan Hari Kurier Negara, esok. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar arah isu pengguna platform e-dagang ditangani segera appeared first on Kosmo Online.






