
KOTA KINABALU: Jelajah Jiwa SME Sabah anjuran Astro Awani dan Unifi Business dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) mendapat sambutan memberangsang khususnya daripada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekaligus menjadi platform pemerkasaan komuniti tersebut.
Program bertemakan ‘Agro Makanan dan Kelestarian’ selama dua hari yang diadakan di Suria Sabah itu telah dirasmikan Pembantu Menteri Maffi Datuk Ruslan Muharam.
Ruslan berkata program berkenaan dapat membuka ruang kepada usahawan negeri itu mengembangkan perniagaan berasaskan hasil pertanian, perikanan dan makanan tempatan melalui penghasilan produk bernilai tambah serta pembinaan jenama berdaya saing.
Menurutnya PMKS memainkan peranan penting dalam mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan keluarga serta menggerakkan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Justeru usahawan perlu dibantu sepanjang rantaian nilai, daripada peningkatan kemahiran dan kualiti produk hingga penggunaan teknologi, penjenamaan, akses pembiayaan serta pasaran.
“Sabah mempunyai sumber semula jadi, hasil pertanian dan perikanan yang pelbagai serta produk tempatan yang mempunyai identiti tersendiri dan potensi ini perlu diterjemahkan kepada hasil ekonomi lebih kukuh serta mampan untuk para pengusaha serta komuniti setempat.
“Pada masa sama produk tempatan juga perlu konsisten, selamat, mempunyai pembungkusan menarik serta menepati kehendak pasaran, selain memanfaatkan platform digital untuk menjangkau pelanggan di seluruh negara,” katanya pada Ahad.
Dalam pada itu Ruslan turut menyeru lebih ramai belia, wanita dan usahawan luar bandar menjadikan sektor agro makanan sebagai bidang yang mempunyai prospek besar, didorong oleh perkembangan teknologi, Inovasi dan model perniagaan baharu.
Sehubungan itu beliau berharap Jelajah Jiwa SME 2026 terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih banyak perusahaan tempatan yang berdaya saing, serta mampu membawa produk Sabah ke pasaran lebih luas.






