liza06/10/2026 - 18:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Insights Analytics Berhad (IAB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Insights Analytics Technologies Sdn Bhd (IATSB) meraih kontrak bernilai RM14.44 juta daripada KJS Capital Sdn Bhd bagi projek membina, mengendalikan dan menyelenggara loji rawatan air Suai di Miri, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Insights Analytics berkata IATSB dilantik sebagai subkontraktor kepada KJS Capital untuk melaksanakan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air Suai berkapasiti 7 juta liter sehari (7 MLD).
“Projek itu dilaksanakan di bawah kontrak berasaskan prestasi bagi menangani kekurangan bekalan air yang kritikal di kawasan Suai, Miri,” katanya.
Pembinaan projek dijadualkan bermula pada 13 Oktober 2026 dan siap pada 10 April 2027, sebelum tempoh operasi dan penyelenggaraan selama 60 bulan atau lima tahun.
IAB berkata tempoh liabiliti kecacatan bagi projek itu adalah selama 12 bulan bermula daripada tarikh pengeluaran Sijil Siap Kerja Praktikal manakala insurans berkaitan projek pula akan diuruskan oleh kontraktor utama, iaitu KJS Capital.
IAB berkata projek berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Projek siap April 2027
Menurut syarikat itu, projek tersebut tertakluk kepada risiko operasi, pembinaan dan kawal selia (regulatory), namun kesemua risiko berkenaan dianggap boleh diuruskan dalam perjalanan biasa perniagaan.
Lembaga Pengarah IAB juga tidak menjangkakan sebarang faktor risiko luar biasa yang timbul daripada projek berkenaan.
IATSB merupakan syarikat yang diperbadankan di Malaysia pada 22 Mei 2003 dan menjalankan aktiviti penyediaan penyelesaian teknologi air serta penyelesaian pengurusan aset pintar.
Sementara itu, KJS Capital diperbadankan pada 15 November 2011 dan menjalankan aktiviti berkaitan kerja-kerja pembinaan.
IAB berkata penerimaan surat anugerah itu tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia.
Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama IAB atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
Lembaga Pengarah IAB selepas mengambil kira semua aspek berkaitan projek berkenaan berpandangan bahawa projek itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com





