PN dibenar mula semakan kehakiman cabar perintah penggantungan RoS

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 3:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PN dibenar mula semakan kehakiman cabar perintah penggantungan RoS

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu.

Hakim Datuk Azizan Md. Arshad membuat keputusan itu selepas meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan penangguhan sementara terhadap penggantungan aktiviti gabungan itu untuk tempoh yang tidak ditetapkan.

“Pemohon telah memenuhi ambang yang ditetapkan untuk mendapatkan kebenaran. Oleh itu mahkamah memberi kebenaran supaya perkara itu dapat dihujahkan pada peringkat substantif,” kata Hakim Azizan.

Justeru mahkamah menetapkan 22 Oktober ini bagi pendengaran permohonan penangguhan oleh PN.

Sebelum ini pada sidang media di Parlimen, PN mengesahkan telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS yang mengeluarkan notis berhubung cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu.

Permohonan tersebut difailkan oleh lima Setiausaha Agung parti komponen PN sebagai pemohon.

Lima pemohon itu ialah Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Satish Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Sazmi Miah.

Takiyuddin berkata, pihak mereka menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Datuk Mohamad Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai dua responden dalam permohonan berkenaan.

Beliau menjelaskan permohonan semakan kehakiman itu antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis yang dikeluarkan ROS terhadap gabungan tersebut.

Permohonan Certiorari adalah satu remedi undang-undang di bawah proses semakan kehakiman (judicial review) yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan sesuatu keputusan, tindakan atau perintah yang dibuat oleh badan berkuasa.

Tujuan utamanya adalah untuk memadamkan keputusan yang dianggap cacat daripada segi undang-undang supaya ketidakadilan dapat diperbetulkan.

Pada 23 September lalu, RoS menggantung semua aktiviti PN susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.

RoS menjelaskan notis berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan yang dikemukakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut jabatan itu, notis tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya bagi memberi ruang kepada gabungan berkenaan mengemukakan penjelasan dalam tempoh munasabah.

Perkembangan itu berlaku susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu kepada RoS pada 11 Ogos lalu.

Aduan berkenaan antara lain membabitkan dakwaan bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan dan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post PN dibenar mula semakan kehakiman cabar perintah penggantungan RoS appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved