PN terbuka terima Parti Wawasan Negara

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN terbuka terima Parti Wawasan Negara
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) pada Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan di Tapak Ekspo, Taman Harmoni, Tanah Merah pada Sabtu.

TANAH MERAH – Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima penyertaan Parti Wawasan Negara sekiranya parti itu mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan itu bersikap terbuka terhadap mana-mana parti yang mahu menyertai PN.

“Perkara itu tidak menjadi masalah. Kita terbuka,” katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan di Tapak Ekspo, Taman Harmoni, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang penyertaan parti baharu perlu melalui proses yang ditetapkan mengikut Perlembagaan PN.

Katanya, permohonan tersebut akan dibawa ke mesyuarat gabungan sebelum diputuskan oleh parti-parti komponen.

“Perlembagaan menetapkan bahawa majoriti parti komponen perlu bersetuju. Apabila parti yang ingin menyertai PN mengemukakan permohonan, kita akan membawa perkara itu ke mesyuarat untuk dipertimbangkan.

“Pada masa yang sama, terpulang kepada mana-mana parti sedia ada sama ada mahu kekal dalam PN atau mengambil keputusan sebaliknya,” katanya.

Ditanya mengenai jangka masa keputusan berhubung perkara itu dibuat, beliau berkata, perbincangan lanjut dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Insya-ALLAH, dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Hamzah mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dan akan menjadi wadah politik di bawah gerakan tersebut.

Beliau berkata, parti berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang pertama pada minggu hadapan.