PN tuntut penjelasan kerajaan kelewatan laksana tahanan rumah Najib

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 7:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN tuntut penjelasan kerajaan kelewatan laksana tahanan rumah Najib
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan

HANG TUAH JAYA – Kerajaan dituntut memberikan penjelasan berhubung kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan hukuman berkenaan sewajarnya dilakukan segera sekiranya terdapat peruntukan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai majistret berkata, pembayaran denda yang dikenakan mahkamah turut mempunyai implikasi terhadap hukuman penjara ganti denda.

"Apabila pembayaran dah dibayar, soal penjara ganti denda itu dah tak timbul lagi.

"Jadi sepatutnya tempoh menjalani penjara di rumah, menjalani hukuman itu di rumah tu perlu dilaksanakan sesegera mungkin.

"Jadi kalau benda itu belum dilaksanakan, kami menuntut daripada penjelasan daripada kerajaanlah khususnya Kementerian Dalam Negeri kenapa ia belum dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) dan PN di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada 18 September lalu.

AGC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berpandangan perkembangan terbaharu itu tidak akan menjejaskan kempen BN dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Menurutnya, setiap warganegara mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan sama seperti pengampunan diraja dan perkara itu perlu dihormati semua pihak.

Katanya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap individu yang menjalani hukuman.

"Jadi, itu adalah hak dia. Apabila seseorang mendapat hak mengikut perlembagaan, perkara itu perlu dihormati oleh semua orang.

"Semua orang berhak kepada perkara itu, bukan orang yang terpilih sahaja. Itu jelas," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan hak berkenaan tidak seharusnya menimbulkan layanan berbeza dalam sistem perundangan negara.

"Sudah ada orang yang pernah mendapat pengampunan dan dibebaskan sebelum ini.

"Jadi, perkara ini sama sahaja, tidak ada 'double standard' dalam undang-undang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved