Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Pelaksanaan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, kini ditangguhkan buat sementara waktu oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran undang-undang.
Langkah ini diambil berhubung interpretasi sebenar terhadap Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim.
Artikel berkaitan : Najib Razak Dijangka ‘Pulang’ Ke Rumah Petang Ini? Rosmah Pula Dakwa Tak Tahu Ada Wakil Bayar Denda RM50 Juta
Artikel berkaitan : DS Najib Razak Sekeluarga Kini Sedang Berdepan Liabiliti Kewangan Cecah RM21 Bilion
Syarat bayaran denda RM50 juta & tahanan rumah
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara, Najib sebelum ini diperkenankan untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda berjumlah RM50 juta serta pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai kesan frasa “menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta” terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

- Interpretasi Pertama: Pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda semata-mata, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028. Dalam konteks ini, tahanan di rumah hanya berperanan sebagai kaedah atau lokasi alternatif menjalani baki hukuman dan bukannya pembebasan atau penamatan hukuman penjara.
- Interpretasi Kedua: Pembayaran denda RM50 juta tersebut merupakan syarat penuh pengampunan, yang memberi kesan bahawa keseluruhan hukuman kes SRC International, termasuk hukuman pemenjaraan yang dianggap telah selesai sepenuhnya.
Perintah Mahkamah Tinggi & kesan terhadap kes 1MDB

Isu ini turut berdepan pertembungan tafsiran susulan pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta berkenaan direkodkan.
Walaupun perintah mahkamah tersebut mengarahkan supaya Najib dilepaskan serta-merta, ia pada masa yang sama turut merekodkan bahawa baki hukuman hendaklah diteruskan secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Kekaburan status baki hukuman SRC International ini mencetuskan implikasi langsung terhadap pelaksanaan hukuman penjara bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB):
- Mahkamah sebelum ini menetapkan bahawa hukuman penjara bagi kes 1MDB hanya akan bermula selepas selesainya hukuman penjara bagi kes SRC International.
- Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1MDB telah pun ditolak oleh pihak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.
Memandangkan pertindihan ini melibatkan persoalan perundangan yang rumit, menyentuh pelaksanaan titah pengampunan, serta menjadi situasi perundangan yang belum pernah berlaku sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa penjelasan undang-undang yang muktamad perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan pelaksanaan seterusnya dikuatkuasakan.
Sumber : IG Jabatan Peguam Negara
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

![[VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/NAJWA-NOORYANA-NAJWA-1024x768.jpeg?v=1793986719)



