Pogacar kembali berlatih

16 Sep 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pogacar kembali berlatih

PARIS: Tadej Pogacar kembali mengayuh basikal statik ketika pelumba Slovenia itu memulakan proses pemulihan bagi memastikan dirinya kembali cergas sepenuhnya menjelang musim 2027 selepas mengalami kecederaan dalam kemalangan di Vuelta a Espana.

Juara Tour de France lima kali itu mengalami kecederaan pada tulang selangka dan leher selepas terjatuh pada peringkat kelapan perlumbaan tersebut dua minggu lalu, sekali gus memaksanya melupakan hasrat mempertahankan gelaran dunia di Kanada.

Namun, pelumba berusia 27 tahun itu memberikan perkembangan positif menerusi video yang dimuat naik di Instagram apabila memaklumkan proses pemulihannya berjalan mengikut perancangan.

“Bukan begini cara kami merancang untuk menghabiskan September,” tulis Pogacar.

Sebelum kemalangan itu, bintang UAE Team Emirates berkenaan dijadual memburu gelaran dunia jalan raya ketiga di Montreal hujung bulan ini, selain mengintai kemenangan keenam berturut-turut di Giro di Lombardia pada Oktober.

Kecederaan berkenaan bagaimanapun memaksa Pogacar mengubah perancangan selepas musim yang sepatutnya menjadi satu lagi pentas untuk mengukuhkan dominasinya dalam perlumbaan berbasikal jalan raya.

“Saya gembira dapat kembali menaiki basikal. Buat masa ini, saya mengambilnya langkah demi langkah dan perlahan-lahan membina semula kekuatan menuju musim depan,” katanya.

Pogacar kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan secara berperingkat dengan sasaran utama memastikan kecederaan pulih sepenuhnya sebelum kembali menjalani persiapan kompetitif untuk musim 2027. – AGENSI/UTUSAN

The post Pogacar kembali berlatih appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved