
Saudara pengarang,
Besar rahmatnya apabila perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Kita lihat bagaimana peminat sukan permotoran terunggul dunia itu berpusu-pusu ke Sepang selepas acara itu tidak lagi dianjurkan sejak sembilan tahun lalu.
Tempias demam F1 ini bukan sahaja membuatkan Malaysia menjadi perhatian dunia, malah peniaga di sekitarnya juga tidak menang tangan melayan pelanggan.
Bermula dengan hotel yang habis ditempah di sekitar Putrajaya dan Kota Warisan, kantung peniaga di Labu Lanjut juga penuh akibat ‘diserang’ pelanggan tempatan dan luar negara.
Inilah yang dikatakan apabila sudah lama tidak bersua, rindu itu semakin menebal dan sekali dapat jumpa, memang lain macam ‘perginya’.
Warung-warung di Labu Lanjut penuh dengan ‘mat saleh’ dan penduduk di situ secara berseloroh mengatakan kampung mereka sudah bertukar menjadi London.
Adakah ini petanda kerajaan akan kembali menganjurkan F1 di Sepang? Kita tahu kos penganjurannya amatlah tinggi tetapi limpahan ekonomi juga tidak kurang hebatnya.
Tolak tepi rungutan jalan sesak dan terpaksa menunggu lama untuk keluar dari situ asalkan kita kembali menjadi tumpuan dunia.
Peminat F1,
Labu Lanjut
The post Poket penduduk Labu Lanjut ‘tebal’ kerana F1 appeared first on Kosmo Online.






