Pokok Jalan Teluk Likas dipelihara, DBKK selenggara kawasan Kepayan dan Karamunsing

28 Jan 2026 • 3:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PEMAJU sebuah hartanah komersial yang sedang dibina di belakang stesen minyak berhampiran Sekolah Menengah All Saints menafikan kebimbangan bahawa pokok-pokok di sepanjang sebahagian Jalan Teluk Likas akan ditebang bagi memberi laluan kepada kerja pelebaran jalan.

Jurucakap syarikat itu berkata kerja pelebaran hanya melibatkan bentangan sepanjang 60 meter bermula “sebelum pintu utama All Saints hingga ke laluan masuk ke Sekolah Rendah St Agnes bersebelahan”.

“Tiada pokok di atas tanah rizab di kawasan ini akan ditebang.

“Ini termasuk pokok hujan yang tumbuh berhampiran Spinnaker Suites,” katanya.

Beliau menjelaskan syarikat berkenaan sedang membina lebih banyak petak parkir bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas  selaras dengan keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kami telah berbincang dengan kontraktor supaya menjaga kebajikan pokok-pokok. Mereka diminta berhati-hati ketika membina laluan pejalan kaki di sekeliling pokok serta diingatkan agar tidak merosakkan sistem akar,” ujarnya.

Menurutnya satu kajian impak trafik telah dikemukakan kepada JKR serta DBKK sebelum ini dan JKR kemudiannya memberikan kebenaran way leave kepada pemaju untuk menjalankan kerja jalan di Jalan Teluk Likas dan Jalan Tuaran.

Kerja-kerja tersebut bermula pada akhir Disember lalu dan dijangka siap secara tentatif pada Oktober tahun ini.

Selain pelebaran sebahagian Jalan Tuaran berhampiran pembangunan berkenaan jurucakap itu berkata jejantas di kawasan tersebut juga akan dibongkar dan pengubahsuaian akan dilakukan di persimpangan lampu isyarat.

   Bagaimanapun katanya beberapa pokok besar dan pokok kecil yang terletak dalam pelan pembangunan yang telah diluluskan pihak berkuasa terpaksa ditebang bagi memberi laluan kepada kerja-kerja di Jalan Tuaran.

Sehubungan itu syarikat berkenaan mendapatkan khidmat seorang arboris bagi menasihati pokok mana yang perlu ditebang dan yang wajar dipelihara. Pakar tersebut telah meninjau kawasan hijau di bahu jalan terlibat awal bulan ini.

“Kami sedang menyediakan laporan berdasarkan pemerhatiannya untuk diserahkan kepada JKR dan DBKK,” katanya.

Sebelum ini DBKK menggesa pemaju supaya lebih proaktif dalam melindungi pokok-pokok di sepanjang Jalan Teluk Likas khususnya dua pokok hujan (Samanea saman) berhampiran Spinnaker Suites.

Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata pokok-pokok hujan itu dianggarkan berusia lebih 50 tahun setiap satu dan telah diwartakan sebagai “pokok warisan” oleh Arboris Bertauliah ISA bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan pada 2009.

Ia dibuat di bawah “Projek Pemuliharaan Pokok Matang Bernilai Warisan” yang ditaja oleh Jabatan Landskap Negara.

“Pemaju perlu mewujudkan zon perlindungan di sekeliling setiap pokok ini bagi memastikan tiada bahagian strukturnya rosak akibat kerja-kerja jalan,” katanya sambil menambah DBKK akan memantau kerja-kerja di Jalan Teluk Likas bagi memastikan pematuhan arahan tersebut.

Sementara itu Unit Pemangkasan Pokok (TPU) DBKK baru-baru ini menjalankan kerja pemangkasan pokok yang terlalu rimbun di kawasan Perumahan Kos Rendah Kepayan dan sebuah kawasan kejiranan di Karamunsing.

Jurucakap itu berkata lapan kakitangan landskap termasuk yang menggunakan gergaji berantai terlibat dalam setiap operasi dengan bantuan sebuah skymaster dan sebuah lori lapan tan.

“Kerja di Lorong Bunga Patuma 10 dijalankan atas permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayan Chin Teck Ming.

“TPU bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd untuk memangkas kanopi pokok yang dahannya menghampiri talian elektrik,” jelasnya.

Bagi kes di Jalan Sang Kancil pula beliau berkata pokok-pokok di sekitar tiga lampu jalan sepanjang 146 meter dipangkas selepas Jabatan Kejuruteraan DBKK mendapati cahaya lampu terhalang oleh dahan panjang dan dedaunan tebal.

Ditanya mengenai kekerapan pemangkasan beliau berkata kerja penyelenggaraan dijalankan secara ad hoc mengikut keperluan.

“Namun demi memastikan lampu berfungsi dengan baik, kakitangan kami diminta memantau keadaan pokok-pokok ini dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang masalah,” katanya.