
PETALING JAYA – Insiden pokok tumbang ini tidak seharusnya dianggap sebagai kejadian luar biasa atau sekadar masalah penyelenggaraan landskap, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai isu pengurusan risiko keselamatan infrastruktur dan persekitaran jalan raya.
Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (RSEA), Jamil Manan Supri berkata, pokok tumbang boleh menjadi ‘booby traps’ (perangkap tersembunyi) di jalan raya kerana ancamannya mungkin tersembunyi, sukar dikenal pasti dan boleh berlaku tanpa memberikan masa mencukupi kepada pengguna untuk bertindak balas.
“Isu pokok berisiko yang mengancam keselamatan awam juga bukan perkara baharu di negara ini.
“Justeru, RSEA menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya memastikan arahan serta dasar keselamatan tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang konsisten dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PBT khususnya perlu mengambil tanggungjawab lebih proaktif dalam mengenal pasti, menilai dan menguruskan pokok-pokok berisiko tinggi di bawah bidang kuasa masing-masing.
Menurutnya, RSEA memahami jumlah arboris atau pakar penilaian pokok tersedia di Malaysia, yang dianggarkan sekitar 150 orang adalah terhad sekiranya kerajaan berhasrat menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap semua pokok berisiko di seluruh negara dalam tempoh yang singkat.
“Bagaimanapun, isu sebenar bukan semata-mata kekurangan tenaga pakar, tetapi juga pendekatan dan model audit yang digunakan.
“RSEA berpandangan bahawa adalah tidak praktikal untuk mengharapkan arboris memeriksa setiap pokok di seluruh negara secara individu,” katanya.
Sehubungan itu, Jamil berkata, RSEA mencadangkan kepada kerajaan antaranya melakukan saringan awal yang mana bukan semua pokok perlu diperiksa oleh arboris, tetapi PBT, JKR, kontraktor penyelenggaraan jalan, pegawai landskap dan petugas lapangan perlu diberikan latihan untuk melaksanakan Rapid Visual Screening.
“Anggaran 150 arboris yang tersedia perlu dimanfaatkan sebagai pasukan pakar untuk mengesahkan dan menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“RSEA turut mencadangkan penubuhan National Tree Risk Register, iaitu pangkalan data digital yang merekodkan semua pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya.
Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Nmax yang ditunggang dihempap pokok tumbang di Jalan Set 2/8, Setia Eco Templer, Selayang hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.20 petang itu, pokok tersebut dikatakan turut menghempap sebuah lori jenis Isuzu. – KOSMO! ONLINE
The post Pokok tumbang perangkap tersembunyi di jalan raya appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] ‘Ada pokok tumbang di Rawang menghala Selayang’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-18-at-3.56.04-PM-1024x768.jpeg)
