
JAKARTA – Pihak berkuasa polis tempatan di Kalimantan Selatan menyusun langkah drastik bagi menangani ancaman kebakaran hutan dan tanah yang semakin meruncing di kawasan berkenaan, lapor saluran berita ANTARA.
Ketua Polis Daerah (Kapolres) Banjar, Boni Ariefianto, mengumumkan penubuhan pasukan khas yang dinamakan “Tim Buru Api Marta Presisi” bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat respons terhadap sebarang insiden kebakaran di wilayah itu.
“Kami mengutamakan kesiapsiagaan dan sinergi dalam menghadapi kebakaran hutan dan tanah supaya setiap potensi kebakaran dapat ditangani dengan pantas dan terkoordinasi,” kata Boni ketika memimpin perhimpunan kesediaan pasukan berkenaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Banjar, baru-baru ini.
Tambahnya, penubuhan pasukan khas itu merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh pihak polis tempatan yang merangkumi usaha pencegahan, pemantauan taburan titik panas, serta operasi pemadaman di lapangan.
Pasukan khas berkenaan dibahagikan kepada tujuh unit kecil dengan kekuatan keseluruhan 70 anggota.
Bagi menyokong operasi, setiap unit dibekalkan dengan logistik pemadaman termasuk pam air berkuasa tinggi serta kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi tangki air berkapasiti 1,200 liter.
“Kehadiran anggota dan logistik ini membolehkan pasukan bergerak pantas ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran daripada merebak dan mengancam keselamatan penduduk,” katanya. – AGENSI
The post Polis Banjar tubuh pasukan ‘buru api’ tangani kebakaran di Kalimantan appeared first on Kosmo Online.





