Polis belum peroleh CCTV, juruterbang tiada rekod jenayah lampau

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis belum peroleh CCTV, juruterbang tiada rekod jenayah lampau

PETALING JAYA : Polis masih dalam usaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meneliti modus operandi digunakan juruterbang Malaysia Airlines Bhd. (Malaysia Airlines) yang didakwa menyeludup dadah ke Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil semakan mendapati individu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Buat masa ini, semua masih dalam tindakan pasukan JSJN.

“Kita tidak boleh umumkan lagi dan subjek tiada rekod dgm PDRM,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup di Indonesia selepas didakwa menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM45 juta.

Pegawai Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, ujian air kencing terhadap juruterbang itu mendapati dia positif methamphetamine, MDMA dan kokain.

Dalam pada itu, JSJN sudah menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia dan membuka siasatan di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta individu yang dipercayai mengarahkan suspek.

Polis turut mengesahkan siasatan akan meliputi kemungkinan wujud rangkaian sindiket di Malaysia yang menggunakan kru penerbangan atau laluan udara bagi kegiatan penyeludupan dadah. – UTUSAN

The post Polis belum peroleh CCTV, juruterbang tiada rekod jenayah lampau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved