KAJANG – Polis sedang mengesan dua lelaki yang melarikan diri selepas cuba diperiksa anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, anggota MPV yang sedang menjalankan rondaan cuba memeriksa serta mendapatkan dokumen pengenalan diri dua lelaki yang menaiki sebuah Proton Wira berwarna hijau.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bagaimanapun kenderaan tersebut bertindak melarikan diri menuju ke arah Kajang.
“Semasa melarikan diri, kenderaan terbabit melanggar sebuah Perodua Ativa sebelum merempuh kenderaan MPV polis.
“Pelanggaran itu menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan kenderaan MPV polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan orang awam mahupun anggota polis dalam kejadian tersebut.
Naazron berkata, polis kini giat menjalankan usaha mengesan kedua-dua suspek termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman kamera papan pemuka (dashcam) serta keterangan daripada saksi.
“Polis sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan suspek termasuk mendapatkan rakaman CCTV, dashcam serta keterangan saksi,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Azlan Zulkiflee di talian 017-316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.






![[VIDEO] Pecut 50km daripada polis, rupanya bawa dadah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/kejar-1024x817.jpeg)