Polis Buru Lelaki Cuba Rakam Bawah Kain Wanita Di Pasar Raya Kuala Langat

LocalPolitics
18 Dec 2024 • 10:48 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Tidak kiralah di kawasan terbuka atau tertutup, pasti ada sahaja individu yang cuba untuk melakukan perbuatan tidak sepatutnya terhadap golongan wanita.

Boleh dikatakan gangguan seksual ini boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti di dalam pengangkutan awam, hentian bas, malah pejabat untuk bekerja juga menjadi sasaran.

Malah, di pasar raya juga turut menjadi lokasi mereka untuk mencari ‘mangsa’ seperti mana yang terjadi baru-baru ini.


Lelaki Didakwa Cuba Rakam Bawah Kain Wanita Di Pasar Raya

Terbaharu, tular sebuah video dimuat naik di laman X (@MYNEWSHUB) yang memperlihatkan aksi seorang pemuda didakwa melakukan gangguan seksual di sebuah pasar raya sekitar Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.

Menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut, lelaki berkenaan dipercayai cuba untuk merakam video di bawah kain wanita yang sedang berdiri sambil memegang troli.

Semasa melakukan perbuatan tersebut, individu berkenaan dipercayai berpura-pura mahu mengambil barangan di kawasan berhampiran sebelum aksinya disedari oleh mangsa mula bergerak sedikit menjauhi lelaki itu.

Susulan kes terbabit, mangsa yang merupakan wanita tempatan membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku pada 9 Disember lalu.

Pihak Polis Sedang Buru Individu Didakwa Rakam Bawah Kain Wanita

Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis kini sedang memburu lelaki terbabit yang dikaitkan dengan kes rakaman gangguan seksual di sebuah pasar raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihak mereka telah menerima laporan kes sekitar jam 10.36 pagi pada 9 Disember lalu oleh mangsa.

Mangsa mendapati suspek telah mengangkat kainnya dan cuba untuk merakam dari bawah selepas membuat pemeriksaan rakaman dari CCTV.

Susulan itu, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mohd Akmalrizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

image is not available
Sumber: X @MYNEWSHUB

Satu Dari Rakyat Malaysia Pernah Menjadi Saksi Gangguan Seksual Terhadap Wanita

IPSOS Malaysia mendedahkan satu kajian yang dijalankan dari 22 Disember 2022 sehingga 6 Januari 2023 berkaitan gangguan seksual terhadap golongan wanita di Malaysia mendapati seorang daripada rakyat Malaysia pernah menjadi saksi kepada kes gangguan seksual melibatkan kaum wanita.

Selain itu, seorang daripada dua rakyat Malaysia juga pernah melihat isu diskriminasi terhadap jantina.

Kaji selidik itu melibatkan 22,508 responden secara atas talian dalam lingkungan umur 16 hingga 74 tahun di 32 buah negara termasuk Malaysia.

image is not available
Sumber: IPSOS Malaysia

Tips Keselamatan Bagi Wanita Ketika Berseorangan

Bagi para wanita yang selalu berjalan berseorangan, di sini kami kongsikan beberapa tips bagi melindungi diri anda. Antaranya:

  • Elakkan berjalan di kawasan sunyi dan gelap.
  • Jangan menggunakan telefon bimbit semasa berjalan.
  • Berjalan dalam langkah yang yakin.
  • Pastikan tangan sentiasa bersedia untuk melawan sekiranya diserang.
  • Tidak memakai beg sandang bertali panjang untuk mengelak kes ragut.
  • Berjalan bertentangan trafik supaya tidak diserang daripada belakang.

Hati-hati semua!

Source: