“Lupa ke ada CCTV?” – Polis Buru Lelaki Rakam Bawah Kain Wanita

Entertainment
17 Dec 2024 • 10:54 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Banyak perkara jelik yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk kepentingan diri sendiri dan perkara itu boleh membawa ke kes jenayah.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki bertindak merakam bahagian bawah kain seorang wanita di sebuah pasar raya yang terletak di Jenjarom, Hulu Langat, Selangor.

Menurut laporan Kosmo!, suspek melakukan tindakan jijik itu ketika mangsa berusia 20an sedang memegang troli di satu sudut di bahagian pasar raya itu dan kejadian itu tular menerusi video berdurasi 25 saat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima kes gangguan seksual daripada mangsa tempatan itu kira-kira pukul 10.36 pagi, 9 Disember lalu.

Menurutnya, ketika kejadian tersebut wanita itu sedang membeli-belah bersendirian sebelum menyedari dirakam seorang lelaki tempatan.

“Mangsa kemudian memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu dan mendapati suspek telah mengangkat kain dan cuba merakam ke arah bawah pakaian tersebut,” katanya.

Difahamkan, pihak polis masih giat mengesan suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.