Polis Buru Warga Asing Mabuk, Mengamuk Di Restoran

LocalPolitics
7 May 2026 • 3:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Buru Warga Asing Mabuk, Mengamuk Di Restoran

KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu seorang lelaki warga asing yang dipercayai mabuk selepas dia mengamuk dan merosakkan sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh pemilik restoran pada jam 11 pagi, dua hari lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 Mei lalu, kira-kira jam 1.56 pagi di sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama.

“Pengadu memaklumkan bahawa dia tidak mengenali suspek dan hanya melihat lelaki itu buat pertama kali ketika kejadian,” katanya hari ini.

Menurut beliau, suspek yang merupakan warga Nigeria itu telah menterbalikkan beberapa meja di sekitar restoran sehingga menyebabkan kerosakan pada premis.

Katanya, pengadu tidak berani menghalang tindakan suspek kerana bimbang dicederakan.

“Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu, namun ramai pelanggan melarikan diri kerana takut dicederakan oleh suspek yang dipercayai mabuk ketika kejadian,” katanya.

Beliau menambah, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengenai insiden tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, rakaman video kejadian tular memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing mengamuk di sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama dengan menterbalikkan meja dan kerusi premis itu.

Video yang dimuat naik oleh akaun @My_CrimeWatch di platform X itu boleh dilayari menerusi pautan berikut : https://www.facebook.com/share/v/1HF6WoDu5y/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 7 Mei 2026