Polis gempur sindiket judi, tipu dalam talian, tahan 74 warga asing

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 11:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis gempur sindiket judi, tipu dalam talian, tahan 74 warga asing

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan perjudian dan penipuan dalam talian susulan penahanan 74 warga asing menerusi Ops Dadu Khas di sekitar ibu negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata operasi serentak ke atas lapan premis kediaman itu dilancarkan menerusi kolaborasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Beliau berkata tangkapan melibatkan 67 lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, merangkumi 61 warga China, 12 warga Vietnam serta seorang warga Taiwan berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan mendapati kelapan-lapan premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian, panggilan cinta dan penipuan pelaburan tidak wujud, selain dijadikan asrama atau penginapan operator pusat panggilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

M. Kumar berkata pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan elektronik yang disyaki digunakan bagi aktiviti jenayah terbabit, antaranya set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama.

Selain itu, polis turut merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi lima biji pil kemerahan disyaki dadah jenis Yaba seberat 0.8 gram serta serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.72 gram.

Susulan serbuan itu, beliau berkata lapan kertas siasatan telah dibuka mengikut peruntukan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan Seksyen 120B kanun yang sama bagi kesalahan pakatan jahat jenayah.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan imigresen.

“PDRM sentiasa komited membanteras aktiviti perjudian kerana ia membawa impak negatif yang signifikan kepada kestabilan ekonomi negara dan keruntuhan sosial.

“Tindakan penguatkuasaan menyeluruh ke atas semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat melibatkan pelbagai elemen termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar berterusan menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan itu.

-- BERNAMA

TAG: M. Kumar, JSJ, JSJK, pusat panggilan, judi, warga asing

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved