Sindiket calling centre tumpas, 74 warga asing diberkas

29 Sep 2026 • 9:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket calling centre tumpas, 74 warga asing diberkas

PETALING JAYA – Premis kediaman yang dipercayai dijadikan pusat calling centre membabitkan sindiket penipuan dan perjudian dalam talian antara yang digempur menerusi Op Dadu Khas di sekitar ibu negara, semalam.

Operasi itu dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, serbuan secara serentak itu menyasarkan premis kediaman yang dipercayai dijadikan pusat calling centre oleh sindiket membabitkan warga asing.

“Sebanyak lapan premis telah diserbu dan hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa aktiviti jenayah dalam talian.

“Antaranya mempromosikan perjudian dalam talian, menjalankan aktiviti love scam, penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian serta dijadikan hostel atau tempat penginapan operator calling centre,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi itu seramai 74 warga asing ditahan terdiri daripada 67 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Daripada jumlah itu, 61 adalah warga China, 12 warga Vietnam dan seorang warga Taiwan berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas daripada tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

“Antara yang dirampas ialah set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.

Tambahnya, pasukan serbuan turut merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi lima biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat 0.8 gram.

“Turut dirampas satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.72 gram,” katanya.

Kumar berkata, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka bagi menjalankan siasatan mengikut beberapa peruntukan undang-undang.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket calling centre tumpas, 74 warga asing diberkas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved