Polis ingatkan peserta Himpunan Aman Kemaman Bebas PATI patuhi undang-undang

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis ingatkan peserta Himpunan Aman Kemaman Bebas PATI patuhi undang-undang
Mohd Khairi Khairudin

KUALA NERUS - Polis mengingatkan penganjur dan peserta Perhimpunan Aman Kemaman Bebas PATI di Padang Astaka, Chukai Kemaman esok supaya mematuhi undang-undang dan peraturan serta mengelak provokasi yang boleh mencetuskan kekacauan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, sebanyak 100 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dikerah bagi memantau serta menjaga keselamatan orang awam di perhimpunan itu yang dijangka dihadiri 1,000 peserta termasuk pempengaruh.

"Saya mahu tegaskan kepada semua termasuk penganjur dan orang awam yang hadir supaya berdisiplin, mengelakkan provokasi dan tidak mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan yang boleh membawa kepada kekecohan.

"Saya juga beri amaran supaya jangan bawa kanak-kanak dan barang-barang terlarang seperti senjata tajam. Sebarang pelanggaran undang-undang akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya selepas Majlis Pelancaran Buku 12 Sikap Menuju Penjara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairi berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes kematian seorang banduan lelaki di Penjara Marang untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Beliau berkata, setakat ini tiga kakitangan Penjara Marang telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa dan tiga suspek pernah terlibat dalam kes pergaduhan berkaitan dadah sebelum ini. Cuma mangsa baru masuk penjara dan suspek pula dipercayai sudah lama berdendam dan tunggu masa sahaja.

"Kes itu jelas berlaku di depan ramai saksi dan di tempat yang semua banduan boleh nampak. Kita sudah panggil pegawai penjara untuk lengkapkan siasatan, sebelum dirujuk kepada TPR untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pada Isnin lepas, seorang banduan lelaki maut dipercayai dipukul tiga banduan lain di sebuah penjara di daerah Marang.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima laporan kes terbabit pada jam 12.31 tengah hari daripada seorang warden penjara itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved