Polis keluarkan 27 saman, sita 10 motosikal di Kota Belud

4 Aug 2026 • 4:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Polis keluarkan 27 saman, sita 10 motosikal di Kota Belud

KOTA BELUD: Sebanyak 27 saman dikeluarkan manakala 10 motosikal disita dalam Op Motosikal dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di Jalan Pan Borneo berhampiran Pantai Emas serta Jalan Sangkir pada Sabtu.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Belud Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa berkata operasi yang diketuainya bersama 10 anggota itu dilaksanakan susulan aduan orang ramai serta hasil risikan yang mendapati kawasan berkenaan sering menjadi lokasi tumpuan penunggang motosikal melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk aktiviti samseng jalanan yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Sepanjang operasi dijalankan, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap puluhan motosikal dan penunggang bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 27 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, selain beberapa kesalahan lain yang melanggar peraturan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Firdaus  menyatakan selain tindakan saman, sebanyak 10 motosikal turut disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan yang memerlukan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Menurutnya semua motosikal yang disita telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud bagi tujuan dokumentasi, pemeriksaan terperinci dan siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata operasi berkenaan bukan sahaja bertujuan mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah lalu lintas malah sebagai usaha meningkatkan kehadiran polis (omnipresence) di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku aktiviti samseng jalanan serta perlumbaan haram.

“Kehadiran anggota polis secara berterusan di lokasi strategik diyakini mampu memberi kesan pencegahan terhadap kegiatan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha penguatkuasaan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala dan lebih menyeluruh di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas berdasarkan maklumat risikan, aduan orang ramai serta pemantauan berterusan oleh pihak polis.

“Pengguna jalan raya diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi spesifikasi yang dibenarkan, selain sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri ketika berada di jalan raya serta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan atau perlumbaan haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang kemalangan serius dan meragut nyawa,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved