
KUALA TERENGGANU – Biarpun menunaikan janji tidak melakukan sekatan jalan raya (SJR) atau ‘pukat’, Polis Terengganu tetap bertegas terhadap peserta RXZ Members 8.0 yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik sepanjang penganjurannya hujung minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, sebanyak 222 motosikal kebanyakannya jenis Yamaha RXZ telah disita atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan dalam tempoh tersebut di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, sebanyak 1,850 saman trafik turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap peserta RXZ Members pada Jumaat dan kelmarin.
“Kebanyakan kesalahan dikesan ialah menggunakan ekzos serta nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Penguatkuasaan ini membuktikan tiada layan istimewa diberikan kepada penganjuran RXZ Members. Setiap pelanggaran undang-undang pasti dikenakan tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, biarpun tidak melaksanakan SJR atau ‘pukat’, penguatkuasaan tetap dilaksanakan seperti biasa demi menjamin kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, penguatkuasaan sama turut menahan enam penunggang motosikal yang disyaki menunggang secara berbahaya sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0.
“Mereka termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga Singapura disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada layan istimewa, 222 motosikal RXZ Members kena sita appeared first on Kosmo Digital.






