Polis kenal pasti ‘orang dalam’ terlibat kes ‘pilot dadah’

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 12:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Dadah orang dalam

SHAH ALAM: Polis mengenal pasti seorang kakitangan beruniform yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyiasat punca dadah dibawa oleh seorang pembantu juruterbang berjaya melepasi tapisan keselamatan di sana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kakitangan berusia 30-an itu terlibat dalam prosedur saringan keselamatan di KLIA.

Katanya, lelaki terbabit melepasi saringan keselamatan pada laluan khas bagi kakitangan yang mempunyai kaedah pemeriksaan sama seperti dilalui penumpang.

“Sehingga kini kita sudah mengenal pasti seorang dan kita akan menghubunginya untuk disoal siasat, kalau ada keperluan, kita akan buat tangkapan. Iaitu kakitangan di lapangan terbang yang terlibat dalam saringan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau menambah, lelaki terbabit melepasi saringan keselamatan pertama yang menyebabkannya tidak perlu melalui pemeriksaan seterusnya seperti mana perlu dilalui oleh orang lain sekiranya terdapat sebarang perkara mencurigakan dikesan.

”Prosedur saringan di KLIA ada beberapa peringkat sehingga tahap keempat. Jadi, kalau melepasi tahap pertama yang dibuat secara automatik melalui sistem pengimbas sedia ada, dia takkan pergi tahap kedua.

“Tetapi, kalau di tahap pertama dapat mengesan sesuatu yang mencurigakan dalam pemeriksaan pihak berkuasa, dia akan pergi ke tahap ketiga. Dalam kes ini, dia telah melalui dan melepasi saringan pertama. Bila tiada sesuatu yang mencurigakan benda (barangan terlarang) itu akan go through (jalan terus),” jelasnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, sepasukan pegawai penyiasat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) yang ditahan kerana didakwa menyeludup dadah ke negara berkenaan.

Pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca.

Jelas Hussein lagi, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polisi Republik Indonesia (Polri) bagi mendapatkan maklumat dan bagaimana pihak berkuasa tersebut dapat mengesan dadah berkenaan.

“Adakah mereka menggunakan sistem atau pemeriksaan fizikal ataupun kombinasinya. Ataupun mereka turut mendapat maklumat melalui pemeriksaan secara rawak dan sebagainya.

“Kita juga sedang menunggu lampu hijau daripada Polri untuk membenarkan pegawai yang akan dihantar ke sana bagi menemuduga (mengambil keterangan) daripada suspek terbabit,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga sudah mengenal pasti pergerakan suspek pada hari kejadian yang terlebih dahulu terbang ke Kota Kinabalu dari KLIA sebelum kembali semula dan pergi ke Jakarta.

“Polis sedang melihat keseluruhan spektrum pengedaran dadah tersebut, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah dari sebuah kawasan apartment di Ampang (dua hari sebelum ditahan). Kita pun sudah mendapat nombor telefon yang dihubungi (oleh suspek).

“Antara perkara yang kita bincang semalam dengan Kementerian Pengangkutan, ita semua bersetuju ada keperluan bagi memperketatkan lagi atau tambah baik prosedur pemeriksaan di KLIA,” ujarnya. – UTUSAN

The post Polis kenal pasti ‘orang dalam’ terlibat kes ‘pilot dadah’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved