
Polis Selangor mengesan 10 lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan maut dan kes diserang parang di Shah Alam.
SHAH ALAM: Polis sedang mengesan 10 lelaki bagi membantu siasatan dua kes pergaduhan di Taman Alam Megah dan Taman Sri Muda di sini pada bulan lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata daripada jumlah itu, tujuh dikehendaki berhubung kejadian di Taman Alam Megah pada 25 Ogos yang menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun maut.
Beliau berkata tiga lagi dikehendaki berkaitan siasatan kes seorang lelaki diserang dengan parang dan diugut menggunakan objek menyerupai senjata api di sebuah stesen minyak di Taman Sri Muda pada kira-kira 11 pagi 13 Ogos.
“Kesemua individu yang dikenal pasti itu berusia 23 hingga 46 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Selain itu, Shazeli berkata polis menjalankan beberapa serbuan di Shah Alam dan Lenga serta Iskandar Puteri di Johor dari 14 hingga 28 Ogos berkaitan dua kes itu.
Hasil serbuan, polis menahan 21 lelaki tempatan berusia 23 hingga 46 tahun dan merampas pelbagai senjata termasuk tujuh parang serta dua pemotong kabel selain kereta (sembilan) dan motosikal (tiga).
Shazeli berkata daripada jumlah itu, lapan telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 149 Kanun Keseksaan manakala empat lagi di bawah Seksyen 148 kanun sama.
Beliau berkata semakan mendapati mangsa yang maut dalam kes di Taman Alam Megah mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Dalam pada itu, Shazeli berkata polis tidak menolak kemungkinan dua kes itu berkaitan dengan unsur gengsterisme, namun melibatkan kumpulan berbeza.
“Pada peringkat awal, kita percaya kes membabitkan kematian berpunca daripada perebutan kawasan manakala satu lagi akibat salah faham.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kumpulan gengsterisme dan akan memastikan mereka dihadapkan ke mahkamah,” katanya.






