
PUTRAJAYA: Polis kini mengesan seorang pemandu kereta yang didapati telah melanggar lampu isyarat merah di lintasan pejalan kaki, di Presint 11, di sini sehingga hampir melanggar seorang murid sekolah rendah.
Menerusi video tular di media sosial, insiden itu dikesan berlaku petang kelmarin berhampiran Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(2) di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang mengesan pemandu kereta berkenaan.
“Sedang dihubungi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menerusi video tular itu, seorang murid sekolah nyaris dilanggar sebuah kereta jenis Honda City ketika melintas jalan di lintasan pejalan kaki di Presint 11, di sini.
Lebih mengejutkan, pemandu itu tergamak membunyikan hon menggesa kanak-kanak berkenaan supaya segera melintas, sedangkan dia sendiri melanggar lampu isyarat merah.
Sementara itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) memaklumkan, pihaknya menerusi Putrajaya Command Centre (PCC) telah mengesan kenderaan tersebut dan menyalurkan maklumat kepada pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Kejadian seumpama ini adalah kali kedua berlaku pada bulan ini di mana kanak-kanak sekolah hampir dilanggar ketika melintas jalan selepas kejadia pertama dikesan di Presint 14 pada 13 November lalu. – UTUSAN
The post Polis kesan pemandu langgar lampu merah, hampir rempuh murid sekolah appeared first on Utusan Malaysia.


![Ramai Berang Tindakan Kereta Honda Langgar Lampu Merah & Hon Pelajar Sedang Melintas [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/hon-pelajar-1.jpg?t=1795169537)


