Polis kesan pemandu treler kuning disyaki terlibat kemalangan maut

12 Jun 2026 • 8:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis kesan pemandu treler kuning disyaki terlibat kemalangan maut
Polis sedang mengesan pemandu treler serta saksi bebas bagi membantu siasatan kes kemalangan maut disyaki langgar lari di Jalan Titi Karangan-Baling berhampiran Inokom pada Khamis.. Foto: PDRM

KULIM – Polis sedang mengesan pemandu treler serta saksi bebas bagi membantu siasatan kes kemalangan maut disyaki langgar lari di Jalan Titi Karangan-Baling berhampiran Inokom di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sebuah motosikal jenis Honda Wave dipercayai terlibat kemalangan dengan sebuah treler disyaki warna kuning di bahagian hadapan.

Menurutnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Polis masih mengesan pemandu kenderaan dan saksi bebas untuk tampil memberikan maklumat berkenaan nombor pendaftaran kenderaan terlibat bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat saksi, kenderaan terbabit kemungkinan tidak mengalami kerosakan akibat kemalangan tersebut.

"Saksi turut memaklumkan kenderaan itu dipercayai sebuah treler dengan bahagian hadapan berwarna kuning dan bahagian belakangnya biru.

“Sehingga hari ini, kita masih belum menerima laporan polis dibuat pemandu terlibat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurzety Adawiyah Muhamad di talian 011-33982365 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.