KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang membakar suar di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi Threads yang memaparkan kira-kira lapan individu menaiki sebuah Toyota Hilux dan dua motosikal scrambler elektrik.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi tadi apabila beberapa individu terbabit membakar suar.
“Perbuatan itu boleh mengancam keselamatan awam serta menjejaskan ketenteraman penduduk dan peniaga di sekitar kawasan tumpuan pelancong tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan terbabit dipercayai berlegar di sekitar kawasan Bukit Bintang sebelum video tersebut dimuat naik di media sosial.
“Kita juga mengesan terdapat kain rentang yang memaparkan nombor ‘6.6’, namun maksud sebenar tulisan berkenaan masih dalam siasatan,” jelasnya.
**media[3524628]**
Sazalee berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.





