
MELAKA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Melaka melupuskan barang kes dadah bernilai RM18.53 juta membabitkan 1,963 kertas siasatan bagi tempoh 2007 hingga tahun ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dadah jenis syabu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 357 kilogram (kg) bernilai RM16 juta.
“Pelupusan kali pertama bagi tahun ini turut melibatkan pelbagai jenis dadah lain dan bahan larangan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah barang kes yang dilupuskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah 382,713.56 gram dadah pelbagai jenis dan 172.35 mililiter bahan larangan.
Pelupusan di bawah Akta Racun 1952 pula membabitkan 151,553.09 gram barang kes serta 267,558.01 mililiter bahan larangan termasuk ketum.
Dzulkhairi berkata kesemua barang kes berkenaan telah selesai melalui prosiding perbicaraan di mahkamah serta menjalani proses analisis oleh Jabatan Kimia sebelum dilupuskan.
Beliau berkata proses pelupusan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat yang dilantik dan mempunyai kepakaran serta peralatan khusus bagi memastikan pengurusan bahan buangan terjadual mematuhi piawaian dan peraturan alam sekitar yang ditetapkan.
JSJN Kontinjen Melaka, katanya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, termasuk ketum, selain menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di kawasan masing-masing.
Beliau berkata sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222.
“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat dihargai dalam membantu membanteras jenayah narkotik serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.






