
HULU SELANGOR – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 16.5, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 62 tahun dan motosikal ditunggang lelaki berusia 24 tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala ke Batang Kali.
“Sebuah motosikal dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian hadapan kereta berkenaan. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Masrina Idris di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Polis minta saksi bantu siasatan kemalangan Batang Kali-Genting appeared first on Kosmo Digital.






