
Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, Kuala Kangsar, pada 14 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan kira-kira jam 3.12 petang mengenai penemuan mayat berkenaan.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan pakar patologi forensik Hospital Taiping, namun identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemukan.
Mayat wanita ditemukan di dalam Sungai Perak
“Semakan identiti melalui carian cap ibu jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak juga mendapati tiada rekod sepadan.
“Mayat dipercayai bukan warganegara tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan BCG,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan pergigian mendapati mangsa dianggarkan berusia lingkungan 30-an, dengan ketinggian kira-kira 154 sentimeter dan berat sekitar 48 kilogram.
Mangsa mempunyai kulit sawo matang dan rambut hitam paras bahu.
Hutang Amerika Syarikat Cecah AS$40 Trilion, Tertinggi Dalam Sejarah
Nahas Kenderaan JIM: Jenazah Tiga Beranak Selamat Dikebumikan
Ketika ditemukan, mangsa memakai baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, seluar jeans hitam serta anting-anting.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, ASP Mohamad Fadhil Ab Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar di talian 019-727 2033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-776 2222.


![“Comel Tapi Derita Untuknya” – Wanita Bantah Gajah Sertai Show Renang, Dakwa Dieksploitasi Untuk Hiburan Manusia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/show-gajah-berenang-861x1024.jpg?t=1787212827)



