
KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan mangsa terselamat dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail selepas keadaannya pulih.
Wanita berusia 55 tahun itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada wanita terbabit bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
Menurutnya, wanita berkenaan merupakan isteri kepada mangsa lelaki serta ibu kepada dua lagi mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
“Keadaannya setakat ini stabil dan selepas keadaannya bertambah baik, kita akan mendapatkan keterangannya,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Dalam insiden kira-kira pukul 1 pagi, semalam, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori JIM Kuala Lumpur yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil tangkapan warga asing.
Tiga mangsa berkenaan Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Lori tersebut memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix. – UTUSAN
The post Polis ambil keterangan selepas mangsa langgar lori imigresen pulih appeared first on Utusan Malaysia.






