Cap jari tiada rekod, identiti wanita dalam beg pakaian masih misteri

20 Aug 2026 • 7:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cap jari tiada rekod, identiti wanita dalam beg pakaian masih misteri

KUALA KANGSAR – Polis masih berusaha mengenal pasti identiti seorang wanita yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun, berkata, usaha mengenal pasti identiti mangsa telah dijalankan termasuk semakan cap ibu jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, namun tiada rekod sepadan ditemukan.

Sehubungan itu katanya, mangsa juga dipercayai bukan warga tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi Bacille Calmette-Guerin (BCG) pada tubuh wanita itu.

“Bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik Hospital Taiping mendapati mangsa ialah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 154 sentimeter, berat 48 kilogram, berkulit sawo matang serta berambut hitam paras bahu.

Katanya, ketika ditemukan, mangsa lengkap berpakaian iaitu baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, seluar jeans hitam dan memakai anting-anting.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohamad Fadhil Ab Wahab di talian 019-7272033.

“Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222,” katanya.

Terdahulu, mayat wanita berkenaan ditemukan orang awam di dalam sebuah beg pakaian di kawasan cetek di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah pada 14 Ogos lalu.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

The post Cap jari tiada rekod, identiti wanita dalam beg pakaian masih misteri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved