Polis nafi dakwaan tiga lelaki bersenjata parang di kampung Orang Asli

7 Nov 2026 • 9:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis nafi dakwaan tiga lelaki bersenjata parang di kampung Orang Asli
Pihak polis memandang serius perkara itu dan akan meneruskan rondaan serta pemantauan secara berkala di kawasan berkenaan. Foto hiasan

MARAN - Dakwaan kehadiran tiga lelaki mencurigakan berpakaian hitam, bertopeng dan dipercayai bersenjatakan parang di kawasan kebun getah Kampung Orang Asli Sungai Jempol di sini, didapati tidak tepat.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya mengesan penularan maklumat berhubung kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp sebelum pemeriksaan dan siasatan awal dijalankan.

Menurutnya, anggota dari Balai Polis Sungai Jerik di sini telah ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan mendapatkan keterangan daripada individu yang dipercayai melihat kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati individu yang dilihat saksi hanyalah seorang lelaki berpakaian hitam, memakai penutup muka dan menggalas sebuah beg.

"Tiada senjata dilihat atau disahkan dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius perkara itu dan akan meneruskan rondaan serta pemantauan secara berkala di kawasan berkenaan.

"Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa terpelihara.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan," katanya.

Menurutnya, penyebaran maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat atau terserempak dengan individu mencurigakan diminta segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved