
PETALING JAYA: Dakwaan bahawa sebuah kenderaan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan ‘escort’ kenderaan mencuri kabel seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan terhadap pencuri kabel itu juga telah dilaksanakan oleh pihak polis.
“Dakwaan (kenderaan polis) bersekongkol adalah tidak benar.
“MPV bertindak atas maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan kenderaan pasukan juga membuka lampu beacon mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, tindakan anggota MPV terbabit merupakan tindak balas kepada aduan orang ramai.
Kata beliau, setakat ini seorang suspek curi kabel telah diberkas untuk tindakan lanjut.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, seorang lelaki ditahan polis ketika cuba menarik keluar kabel dari lurang menggunakan kenderaan pacuan empat roda di Kampung Tasik Tambahan, Ampang.
Polis menerima panggilan orang awam kira-kira pukul 3.59 pagi memaklumkan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasik Tambahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN
The post Dakwaan polis ‘escort’ kenderaan curi kabel tidak benar appeared first on Utusan Malaysia.






