
IPOH: Sindiket pengedaran dadah jenis ketamin dan ektasi yang baru bergiat aktif kira-kira dua bulan sejak Jun lalu ditumpaskan polis dalam empat serbuan di lokasi berasingan sekitar Ipoh dan Tapah pada Selasa dan semalam.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, serbuan hasil risikan terancang itu membawa kepada penahanan tujuh suspek iaitu lima lelaki dan dua wanita berumur 22 hingga 44 tahun.
“Serbuan pertama di pusat hiburan di Ipoh berjaya menangkap dua suspek lelaki tempatan. Hasil pemeriksaan menjumpai 19 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 20.08 gram dan tiga peket plastik lutsinar ekstasi 94.21 gram.
“Manakala, serbuan kedua di pusat hiburan yang sama, dua suspek lelaki warga tempatan dan dua suspek wanita warga tempatan ditahan.
“Dalam operasi itu dijumpai 14 peket bungkusan plastik bergambar kartun berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 480.60 gram serta satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin sebanyak 4.06 gram,” katanya kepada pemberita di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini.
Katanya, serbuan ketiga di sebuah rumah di Tapah telah menjumpai 71 peket lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 2,502.10 gram dan satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin iaitu 4.06 gram.
Dalam serbuan keempat di Bukit Pagar, Tapah, pula membawa kepada penangkapan seorang suspek lelaki tempatan selain menjumpai dua peket plastik lutsinar berwarna biru ekstasi 16.08 gram serta dua peket plastik berwarna merah jambu ekstasi 16.34 gram.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM538,451. Polis turut merampas tiga buah kenderaan bernilai RM224,000 serta wang tunai berjumlah RM32,376.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah. Jumlah dadah yang dirampas boleh merosakkan kira-kira 23,332 individu,” katanya.
Jelasnya, saringan awal air kencing mendapati, dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine sementara enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kesemua suspek direman selama tiga dan empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN
The post Polis Perak tumpas sindiket pengedaran dadah appeared first on Utusan Malaysia.






