Polis rampas 168 mesin Bitcoin di Sungai Siput dan Perak Tengah

LocalTechnology
2 Sep 2026 • 12:09 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis rampas 168 mesin Bitcoin di Sungai Siput dan Perak Tengah

Serbuan pertama kira-kira 4 petang di sebuah kediaman di Sungai Siput Parade membawa kepada rampasan 58 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan dua router.

SUNGAI SIPUT: Polis merampas 168 mesin perlombongan Bitcoin dalam serbuan berasingan di empat buah kediaman di daerah Sungai Siput dan Perak Tengah, 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata sebanyak 132 mesin bernilai RM395,000 dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Sungai Siput, manakala 36 lagi mesin bernilai RM105,000 dirampas di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Beliau berkata serbuan pertama kira-kira 4 petang di sebuah kediaman di Sungai Siput Parade membawa kepada rampasan 58 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan dua router.

“Serbuan kedua kira-kira sejam kemudian di sebuah kediaman di Taman SS2 Perdana pula membawa kepada rampasan 26 mesin perlombongan Bitcoin, sebuah komputer riba dan sebuah router,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata serbuan ketiga pada 6.30 petang di sebuah kediaman di Taman Alamanda membawa kepada rampasan 48 mesin dan sebuah router bersama penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai penjaga kediaman berkenaan.

Katanya, hasil semakan awal mendapati lelaki yang ditahan mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan mendakwa tidak mengetahui mengenai kegiatan berkenaan di premis terbabit.

Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Seri Iskandar, pihaknya turut merampas sebuah router, desktop switch dan segulung kabel elektrik yang telah dipotong. 

“Pemeriksaan awal mendapati kediaman berkenaan tidak mempunyai meter elektrik yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dipercayai menggunakan sambungan elektrik secara haram,” katanya.

Mohd Alwi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau turut menasihati pemilik kediaman supaya sentiasa memantau premis yang tidak berpenghuni atau disewakan bagi memastikan ia tidak disalah guna sebagai lokasi kegiatan jenayah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved