
GUA MUSANG: Polis merampas 2,000 pil yaba selepas seorang lelaki yang bertindak melarikan diri daripada sekatan pemeriksaan polis di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, petang semalam.
Lelaki berusia 49 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas dikejar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan ketika anggota menjalankan sekatan pemeriksaan mengejut sebelum dia bertindak melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan kira-kira 2,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat 200 gram dan nilai kira-kira RM30,000.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo memberitahu, polis turut merampas sebuah Toyota Vios, satu unit kunci kereta dan dua unit telefon bimbit untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” ujarnya.-UTUSAN
The post Polis rampas 2,000 biji pil yaba di Gua Musang appeared first on Utusan Malaysia.






