Polis Sahkan Wujud Kerja Ekskavasi Tanah Di Putra Heights, Excavator Dikhuatiri Terbenam

LocalPolitics
4 Apr 2025 • 7:39 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Persoalan orang ramai akhirnya terjawab apabila pihak polis mengesahkan wujudnya kerja-kerja ekskavasi tanah di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya yang terbabit dengan insiden kebakaran saluran paip gas baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja-kerja mengorek tanah itu dilakukan kira-kira 30 meter dari pusat letupan.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati aktiviti tersebut adalah sebahagian daripada projek menggantikan paip-paip kumbahan sedia ada di kawasan berkenaan.

“Aktiviti ini turut melibatkan penggunaan dua jentera berat iaitu sebuah backhoe dan sebuah jentera pengorek (excavator), namun kerja-kerja ekskavasi dihentikan pada 30 Mac lalu, iaitu dua hari sebelum kejadian,” kata Hussein Omar dipetik Awani.

Excavator dikhuatiri terbenam di kawasan kawah sedalam 8 meter, tiada penemuan mayat

Beliau bagaimanapun memaklumkan excavator itu dikhuatiri terbenam di kawasan lubang sedalam lapan meter (m) dan berkelebaran 70 meter diameter yang terbentuk akibat letupan berkenaan.

Menurut Harian Metro pula, pihak polis juga sudah mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terbabit dalam aktiviti mengorek tanah di kawasan terbabit.

“Setakat ini tiada penemuan mayat hasil pemeriksaan dilakukan dan kami masih memerlukan masa untuk mengorek lubang (kawah) itu bagi mengetahui jika ada orang dalam eskavator yang terbenam, namun setakat ini kita tidak menerima laporan orang hilang,” katanya lagi.

Kerja korek kawah akan bermula 15 April

Beliau turut memaklumkan kerja mengorek lubang berkenaan bagi mengeluarkan excavator yang terbenam selain melakukan siasatan lanjut terperinci untuk mengetahui punca kejadian akan bermula 15 April. Proses ini dijangka mengambil masa masa dalam tempoh dua minggu.

“Kita boleh sahkan ada aktiviti (mengorek) dan kerja itu dihentikan pada 30 Mac lalu tetapi adakah pengorekan itu (dilakukan) seberapa dalam, berapa jauh perlu disiasat.

“Selain itu, untuk mengenal pasti adakah aktiviti itu boleh menyebabkan letupan juga perlu disiasat lanjut,” tambahnya.

Siasatan melibatkan aspek teknikal dan jenayah

Difahamkan ketika ini siasatan melibatkan dua aspek iaitu dari sudut teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) manakala sudut jenayah oleh PDRM.

“Setakat ini, sebanyak 56 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan, termasuk mangsa, pekerja tapak, kontraktor, subkontraktor dan juga saksi. 

“Pihak polis juga menerima lebih 20 rakaman video daripada dashcam serta kenyataan di media sosial untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Terdahulu tular dakwaan yang mengatakan ada berlakunya kerja-kerja mengorek korek tanah berhampiran laluan paip gas sebelum kejadian berkenaan.

Sehubungan itu PDRM, JBPM serta Petronas akan melakukan pemeriksaan dan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim kemudiannya mengesahkan memang ada projek pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran lokasi kebakaran dan ia mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Namun jelas beliau projek tersebut tidak berada dalam kawasan Rizab Laluan (ROW) Petronas serta sudah diberi kelulusan dan kebenaran merancang sejak tahun 2022.

Sebagai info, kebakaran melibatkan saluran utama Petronas Gas Bhd (PGB) bermula pada 8.10 pagi 1 April.

Ia menyebabkan terbentuknya lubang berkedalaman 8 meter selain mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran itu turut memberi kesan kepada 1,254 orang daripada 308 keluarga, di mana 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami.

Selain itu 148 buah rumah turut terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.