Polis siasat dua laporan khianat, ugutan jenayah di Kinrara

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 9:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shazeli

PUCHONG - Polis menerima dua laporan berasingan berkaitan kejadian khianat serta ugutan jenayah yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara di sini pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua laporan itu diterima oleh pihak polis pada 9 Mac dan 10 Mac melibatkan dua insiden berbeza di lokasi sama.

Menurutnya, susulan laporan pertama, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Kes tersebut membabitkan kejadian khianat serta ugutan jenayah yang dilaporkan berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

"Sementara itu, satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan melibatkan kejadian khianat dengan api yang mengakibatkan kerosakan sebuah kenderaan di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif kejadian serta individu yang terlibat.

Katanya, orang ramai diminta memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis bagi melengkapkan proses siasatan.

"Polis turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, seorang aktivis mendakwa menjadi sasaran serangan berulang kali termasuk kejadian terbaharu di kediamannya di Taman Kinrara pada Selasa.

Mangsa, S Chandrasegaran, 47, yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ mendakwa kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku apabila sebelum ini dia pernah diserang individu tidak dikenali pada 2022.

Mengulas kejadian terbaharu, Chandra berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya.

Katanya, dua lelaki tidak dikenali dipercayai membuka pagar rumah sebelum bertindak memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di bahagian hadapan kediaman.

Menurutnya, gangguan terhadap keluarganya tidak berakhir di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira jam 3.20 pagi dan bertindak membaling objek disyaki bom petrol atau molotov cocktail ke arah kediamannya.

Akibat kejadian itu, sebuah kenderaan jenis Suzuki Ertiga miliknya musnah sepenuhnya selepas terbakar.

Dua lagi kenderaan iaitu Perodua Viva dan sebuah lagi kereta turut mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.