
MERSING: Polis akan menyiasat faktor kepatuhan syarat lesen dan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) pengusaha bot yang terlibat dalam tragedi rempuhan sehingga menyebabkan dua termasuk seorang pelancong maut, di Kuala Sungai Mersing, di sini malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan turut dibuat bagi memastikan kedua-dua pengusaha bot terlibat memiliki permit perkhidmatan sah serta mematuhi had waktu operasi perairan yang ditetapkan.
Katanya, pihaknya juga akan memanggil individu terlibat termasuk pasukan keselamatan yang pertama tiba di lokasi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dijalankan.
“Kita juga akan memohon kerjasama Jabatan Kimia untuk mengesahkan impak kejadian ini. Saya tidak dapat maklumat rasmi lagi sama ada kedua-dua bot ini mempunyai permit ataupun lesen untuk mengendalikan penumpang.
“Kejadian baharu berlaku jadi masih awal, beri peluang pihak berkuasa melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau keadaan bot terlibat di Kampung Pangkalan Batu, Mersing, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, dua individu maut dikenalpasti sebagai pengendali bot Sea Queen berusia 38 tahun dan seorang penumpang lelaki berbangsa Cina berusia 32 tahun.
Menurut beliau, kemalangan itu berlaku kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing yang dalam perjalanan balik dari Pulau Besar, manakala bot Rawa Birds yang baharu berlepas dari jeti menuju ke Pulau Rawa.
“Bot Sea Queen membawa enam individu manakala bot Rawa Birds dinaiki tiga individu. Rempuhan di kuala sungai itu menyebabkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan dengan tiga daripadanya dirawat di Hospital Mersing, tiga dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), dan seorang lagi dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang,” katanya.
Tambah Ab. Rahaman, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian serta Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara berbahaya dan laporan mati mengejut (SDR).-UTUSAN
The post Polis siasat kemalangan dua bot sama ada berlaku kecuaian, kendalian berbahaya appeared first on Utusan Malaysia.






