
JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor mengeluarkan sebanyak 139,696 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi pelbagai operasi yang dijalankan di semua 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di bawah Kontinjen Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, sejak awal tahun hingga semalam, pihaknya telah melaksanakan 2,527 operasi penguatkuasaan dengan 981 tangkapan dibuat, manakala 4,197 buah kenderaan disita.
“Antara kesalahan diberi tumpuan termasuk melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong di garisan berkembar serta menyalahgunakan lorong kecemasan.
“Tindakan tegas turut diambil terhadap kesalahan memotong barisan, kesalahan melibatkan penunggang motosikal, aktiviti samseng jalanan serta memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, JSPT Johor akan meneruskan operasi secara berterusan dan bersasar berasaskan analisis data kemalangan, lokasi kawasan panas (hotspot), waktu berisiko serta kumpulan pengguna jalan raya yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Sehubungan itu, Polis Johor menyeru seluruh masyarakat dan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap berhemah dan bertanggungjawab semasa berada di jalan raya,” katanya.-UTUSAN
The post Polis Johor keluar 139,696 saman trafik, tahan 981 individu sejak awal tahun appeared first on Utusan Malaysia.





