Polis siasat penemuan al-Quran terbakar di padang

23 Aug 2026 • 3:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis siasat penemuan al-Quran terbakar di padang

SEREMBAN: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan beberapa helaian al-Quran yang terbakar di sebuah padang di Taman Bandar Senawang, di sini, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kebakaran kecil di kawasan berkenaan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat beberapa helaian al-Quran.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan lapang yang turut digunakan sebagai tempat meletakkan kenderaan.

“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Satu sampel kesan helaian al-Quran yang terbakar diambil dan dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.

“Sisa kebakaran berkenaan akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS),” katanya.

Sementara itu, Bendahari Surau Al-Insaniah Taman Bandar Senawang, Mohd. Syafali Izwan Gamal Nasir, 44, berkata, beliau menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 8.40 pagi semalam.

“Jiran berkongsikan gambar al-Quran terbakar dalam kumpulan media sosial. Saya pun segera pergi ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi, saya nampak beberapa helaian yang masih berbaki dan mempunyai tulisan besar,” katanya.

Mohd. Syafali berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penemuan berkenaan mempunyai kaitan dengan kehilangan dua naskhah al-Quran dari surau berkenaan.

Menurutnya, kehilangan dua naskhah al-Quran bersaiz besar itu disedari pihak surau pada Rabu lalu dan lazim digunakan imam ketika solat tarawih.

“Hari Rabu lepas kami perasan ada dua al-Quran yang besar yang selalu imam gunakan ketika solat tarawih tiada di rak. Jadi, kami ingat mungkin ada orang yang meminjamnya.

“Saya difahamkan ada sebuah masjid berhampiran yang turut kehilangan beberapa naskhah al-Quran, juga yang bersaiz besar,” katanya.  –UTUSAN

 

The post Polis siasat penemuan al-Quran terbakar di padang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved