![Image from: [VIDEO] Polis siasat pelumba haram tutup laluan Lebuh Raya Linkedua](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LUMBA-HARAM-TUTUP-JALAN-1024x768.jpeg)
KULAI – Polis daerah Kulai akan menjalankan siasatan kejadian penutupan jalan awam dan lumba haram melibatkan dua penunggang motosikal di Lebuh Raya Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian yang telah tular sejak pukul 3 petang semalam itu dipercayai berlaku bermula daripada kilometer 33 susur keluar plaza tol Senai Utara sehingga kilometer 31 susur Johor Premium Outlet (JPO).
Katanya, susulan daripada penularan video berdurasi 33 saat itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kulai sedang mengenal pasti dua penunggang motosikal serta individu-individu lain yang dipercayai terlibat dan berada dikawasan tersebut ketika kejadian berlaku.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diharapkan dapat menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Sebelum itu tular satu video dalam Laman Sesawang Facebook Community Roda Johor yang memaparkan dua individu menunggang motosikal bersaing sesama sendiri selain menutup jalan sehingga mengundang kecaman daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Polis siasat pelumba haram tutup laluan Lebuh Raya Linkedua appeared first on Kosmo Digital.






