
ALOR SETAR, 29 OKT: Polis menahan empat lelaki dipercayai cuba mencuri kabel di sebuah lurang berhampiran bangunan di kawasan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pada 10.45 malam itu, pihak keselamatan UUM menerima laporan mengenai cubaan mencuri kabel sebelum bergegas ke lokasi tersebut.
“Pasukan keselamatan universiti mendapati tiga kereta iaitu Volkswagen, BMW dan Perodua Myvi berada berhampiran lurang kabel yang telah dibuka, sebelum tujuh individu keluar dari kenderaan terbabit menuju ke lurang.
“Apabila pasukan keselamatan cuba mendekati mereka, kesemua individu itu masuk semula ke dalam kenderaan masing-masing untuk melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Mohd Radzi berkata seorang suspek yang menaiki kereta BMW berjaya ditahan oleh pasukan keselamatan UUM di lokasi kejadian, bersama-sama peralatan mencuri kabel.
“Seorang lagi suspek yang menaiki kereta Volkswagen ditahan selepas kereta itu terbabas di pintu utama UUM, setelah melanggar beberapa kenderaan lain di situ. Tiga individu yang berada di dalam kereta sama berjaya melarikan diri.
“Dua lagi suspek ditahan ketika pasukan keselamatan melakukan rondaan di Taman Perumahan UUM. Perodua Myvi yang digunakan suspek ditemukan di kawasan UUM tanpa pemandu,” katanya.
Mohd Radzi berkata siasatan lanjut mendapati kereta Volkswagen dan BMW itu ialah kenderaan klon Singapura milik suspek, manakala Perodua Myvi berkenaan disewa di Pulau Pinang oleh suspek yang masih bebas.
Beliau berkata polis turut merampas ketiga-tiga kereta berkenaan serta beberapa peralatan antaranya alat pemotong, kapak, kunci lurang kabel, penegang tali dan nombor pendaftaran kereta palsu.
Mohd Radzi berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 30 tahun itu, positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
“Polis sedang giat memburu beberapa lagi individu disyaki terlibat dengan kes cubaan mencuri itu,” katanya.
-- BERNAMA




![[VIDEO] Suspek cabut lari tinggal kabel curi](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-24-at-09.24.58-1024x535.jpeg)

