
GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Guru lelaki Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas selepas keluar dari rumahnya di Sungai Ara di sini ditemukan selamat di Kampung Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata hasil tindakan dan siasatan lanjut, pasukan polis berjaya mengesan mangsa, Mohamad Hijazi Zamri, 26, di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong.
"Pemeriksaan mendapati lelaki itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Mangsa kemudian dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut serta diserahkan kepada keluarganya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak polis merakam penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu dalam usaha mengesan mangsa sehingga berjaya dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut.
Sementara itu, bapa mangsa, Zamri Saidin, 53, ketika dihubungi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mencari Mohamad Hijazi selain tidak putus-putus mendoakan keselamatan anak sulung daripada tujuh beradik tersebut.
Beliau berkata telah menerima panggilan daripada seorang rakan Mohamad Hijazi memaklumkan menemui anaknya itu dan meminta untuk bercakap menerusi telefon bagi mengenal pasti suara anaknya.
Sebelum ini, polis memaklumkan hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan meminta izin ibunya bagi ke Surau Al-Muttaqin di Lilitan Sungai Ara, dengan menaiki motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG 275, namun lelaki itu tidak pulang ke rumah serta gagal dihubungi ahli keluarga.






