Polis tahan lelaki disyaki serang, ugut penguat kuasa MBI

LocalPolitics
26 Jul 2026 • 9:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis tahan lelaki disyaki serang, ugut penguat kuasa MBI
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penguat kuasa MBI diserang dan diugut. Foto hiasan

IPOH - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diserang dan diugut ketika mengeluarkan notis kompaun di Jalan Pengkalan Barat 35, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, suspek yang berusia 42 tahun dipercayai bertindak agresif dengan cuba melanggar mangsa menggunakan kenderaan, mengekori, menarik bahagian leher baju mangsa serta mengeluarkan ugutan.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan susulan kejadian berkenaan telah membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh telah berjaya menahan suspek pada 25 Julai, kira-kira 12.40 tengah hari bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan. Polis memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghalang, menyerang atau mengugut penjawat awam ketika menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan malam Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved